Friday, December 31, 2010

Selamat Tinggal, Erin! Selamat Tinggal Melaka!

Pukul 1:30 pagi kami tiba di rumah. Tinggallah Erin keseorangan di sana menanti ketibaan rakan serumah dan hari pendaftaran semester dua. Maaf sayang! Mama tak dapat tunggu lama-lama kerana tuntutan tugas yang berlambak-lambak di rumah. Mama doakan semoga Erin selamat berada dalam limpahan kurnia-NYA. Amin!
          Teruja menatap wajah Khair Rayyan. Awal pagi lagi dah bangun dan segera menoleh mencari-cari sebaik sahaja namanya dipanggil. Mohd Khair Rayyan, ahli terbaru keluarga K's.

Thursday, December 16, 2010

Khair Raiyyan - Satu Permulaan

Meskipun bukan yang pertama
kelahiranmu menggamit penantian semua
dalam keterujaan melihat wajah mulusmu
terselit rasa curiga dan was-was
terutama umi dan walid
tokma dan juga tokbah.

Hadirmu membenih debaran
kencang bergelora dalam dada kami
yang rindu mendengar tangis pertamamu.

Ya Rabbi,
kami pasrah dengan ujian-Mu,
kami tabah menerima ketentuan-Mu,
betapa mahalnya suara tangismu,
membuatkan kami tertunggu-tunggu untuk menimangmu.

Hari ini,
penantian kami berakhir
apabila melihat senyuman terukir di bibir,
mata bundar mencari-cari
Kaulah Khair Raiyyan
ahli keluarga k's yang baru lahir semalam.

Sunday, December 12, 2010

Gambar Kenangan Berbengkel di IPGM Sultan Mizan, Besut, Terengganu


*Norlaila Hashapar, *Ana Balqis, *Qursiah Hanum dan *Nina 
bersama peserta-peserta bengkel Seni Penulisan Kreatif Cerpen/Novel pada 4 dan 5 Disember, 2010.

Aduh, sakitnya kakiku!

            Esok genap sebulan kakiku terluka tertusuk besi pelapik longkang. Kakiku yang terluka bukannya hatiku. Semangat kerjaku masih kuat seperti dahulu. Cuma perasaan sedikit ugah. Kulit betisku tidak secantik dulu. Kesan luka semakin membesar. Mungkin ada jangkitan kuman. Maklumlah, longkang katakan! Tempat membiak segala jenis kuman. Di manakah tempat yang mengalirkan segala segala air yang kotor lagi busuk? Longkanglah jawabnya.


            Kejadian ini juga mendorongku untuk bermuhasabah diri. selama ini aku sentiasa sihat dan cergas. Allah menurunkan sedikit ujian supaya aku berehat. Sepanjang tahun 2010, aku tidak pernah ambil cuti sakit. Dengan berlakunya musibah ini aku terpaksa mengambil cuti sakit sehari sebelum cuti sekolah bermula. Syukur alhamdulillah, masa cutiku dihabiskan dengan berehat di rumah....
           Namun aku tak boleh duduk-duduk sahaja. Duduk lama-lama membuatkan diriku rasa semakin sakit. Syukur Alhamdulillah kerana DBP mengundangku untuk berbengkel bersama Ana Balqis. Berlaku juga percambahan idea dan dapat kumpul sijil penyertaan Bengkel Penulisan Kreatif Cerpen/Novel. Terima kasih DBP. Terima kasih Ana Balqis.


           Pada 17, 18 dan 19 Dis. nanti aku akan berangkat ke Utara Tanahair. Stadium Tertutup Alor Star bakal menyaksikan satu lagi sejarah yang tercipta. Sekali lagi aku dan puteraku yang sulung bakal menerima Anugerah Diamond. Tahniah dan terima kasih. Begitu mudah untuk mendapat pengiktirafan bagi kerja-kerja sambilan tapi agak sukar bagi tugas hakiki meskipun jangka masa aku berkhidmat terlalu lama tanpa jemu. 31 tahun satu tempoh masa yang agak lama  berbanding 6 bulan.

           Meskipun begitu, masih ada kurang lebih 4 tahun lagi untuk menyalurkan khidmat bakti sebagai penggilap modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang. InsyaALLAH!

Friday, December 10, 2010

Meredah Laluan Berliku....

Apakah tindakan anda sekiranya....
menghadap lautan luas terbentang
kolek usang tersadai tanpa pendayungnya
membelakangi gunung tinggi menghijau
di kiri paya beralir songsang
denai berliku terkesan tapak haiwan liar
anda tersepit di tengah-tengah.

Mampukah anda merentasi ombak lautan bergelora
berbekalkan azam dan semangat segala
tanpa ilmu menongkah lautan samudera?

Anda pasti juara sekiranya....
mengguna akal budi menangani segala
berpada-pada mengambil lajak
mahir mengagak agar tidak terlajak.

Usah bermimpi di siang hari
jangan dibiarkan emosi dibuai ilusi
pantang tunduk pada godaan duniawi
kerana nafsu tiada penghujung
menggoda anak cucu Adam agar terpesong.

Sekirnya tersesat di hujung lalu
kembalilah ke pangkal jalan.
Sekiranya terapung-apung di buai impian
berpijaklah di akar kenyataan.
Jangan jadi macam kiambang
akar tak jejak di bumi, pucuk tidak mencapai awan.

analoginya
biduk lalu kiambang bertaut
mempamerkan akal budi
eratnya silaturahim
teguhnya kasih nan abadi.

Menganyam Impian, Mengukuhkan Azam

Seringkali kita impikan sesuatu
membina mahligai impian
di puncak menara cita-cita.
lalu apakah yang perlu anda lakukan selanjutnya?

Seringkali kita tersasar jauh
tatkala berlari pecut dan terjatuh
di situ momentum bermula
untuk kita bermuhasabah diri
menilai kembali segala reaksi dengan akal budi.

Seringkali kita terlupa
segala kejadian ada penenturnya
ada mata yang menatap dan mencatat
segala kebaikan dengan imbuhannya
neraka berapi bagi yang terkhilaf
membelakangi sunnah dan kalamullah.

Seharusnya kita akur dan merendah diri
Sujud menyembah ALLAH yang esa tepat pada waktu
Setulus hati, perteguh janji menganyam impian menggunung
Mengukir azam yang teguh di hati dengan akal budi
Sebelum senja merangkak tua
Sebelum kita terlupa
Dan pintu taubat masih terbuka.

Seringkali kita terlupa
laluan mudah ke syurga dan neraka hanya dua perkara
akal yang bersarang dalam otak di batu kepala
nafsu yang bergelumang dalam segumpal hati di rongga dada
perlu diguna pakai secara bijaksana
dengan teliti, berhemah dan berintergriti
agar fungsinya tidak tersasar jauh
dan kita tidak terjatuh dalam kawah api neraka wil.

Dengan impian tercetus cita-cita
dari cita-cita menggunung azam
dengan azam terhasil kudrat
dengan iradat-Nya kita bertakwa.

Thursday, December 9, 2010

Mengedit Novel Bukan Cinta Pertama

Sebaik sahaja saya selesai menulis novel 'Bukan Cinta Pertama' saya menerima undangan DBP untuk menyertai bengkel Penulisan Cerpen/Novel di IPGM Kampus Sultan Mizan pada 4 dan 5 Disember 2010. Saya membawa sama Nina (Puteri ke4) dan mengajak Lela untuk ikut serta. Alhamdulillah! Banyak ilmu baru diterima dan berlaku percambahan idea lalu minda pun luas terbuka.
          Saya diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan hasil terutama cerpen kepada DBP. InsyaALLAH, bukan sekadar cerpen, Malah sebuah novel akan saya persembahkan. Kebetulan, novel terbaru saya yang didedikasikan buat seorang teman yang kini telah berpindah sekolah, amat sesuai untuk diketengahkan.
          Berdasarkan pengalaman yang dikutip semasa berbengkel, terdetik di hati saya untuk mengolah semula pendahuluan novel tersebut dalam bentuk puisi. Saranan Ana Balqis saya terima dan inilah pantunnya;


                                       Cantik sungguh awan larat,
                                              Ukiran indah menghiasi pintu,
                                                       Idaman jiwa puteri jelita;
                                       Perit sungguh hidup melarat,
                                              Sedari kecil menjadi piatu,
                                                       Memendam rindu memburu cinta.


          Novel setebal 300 muka surat ini saya edit semula untuk menambah perisa setelah mengutip seberapa banyak ilmu dan percambahan idea semasa berbengkel. Tidak rugi sekiranya anda meluangkan sedikit masa emas anda untuk membacanya nanti. Sasaran pembaca meluas dan sesuai untuk pelbagai peringkat usia, remaja, dewasa, pelajar, ibu bapa dan ahli akademik.
          Tunggulah kehadiranya di atas rak-rak buku di pasaran atau pesan terus dari saya. O.K!

Wednesday, December 8, 2010

Bahasa Politik dan Bahasa Sastera

Saya seronok membaca cetusan Prof Dr. Rahman Shaari dalam akhbar SinarHarian. Terkini beliau memuji keindahan bahasa politik Dr.Wan Azizah dan Wan Khazim. Saya petik tulisan beliau yang berbunyi, "Saya fikir, dari segi ilmu gaya bahasa kongres PKR telah menghasilkan yang baik. Wan Khazim menggunakan bahasa perbandingan untuk menegur pihak yang tersesat dalam kebisingan salakan. Wan Azizah pula menggunakan bahasa berlapis bagi menolak ketuanan Melayu dan menerima Ketuanan Rakyat. Bagi Wan Khazim, kebisingan salakan ialah perbuatan tuduh-menuduh yang sudah di luar kesopanan, manakala bagi Wan Azizah, Ketuanan Rakyat ialah Ketuanan Anwar!" Demikianlah indahnya bahasa politik!


          Beliau selanjutnya menyarankan agar pujian Wan Azizah terhadap suaminya patut dijadikan pegangan wanita yang bersuami kerana di sekitar kita terlalu besar jumlah isteri yang tidak memuji suaminya, padahal suami ialah anugerah ALLAH kepadanya.


          Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pun suka akan pujian begitu. Katanya, "Pujilah suami, ALLAH akan berserta dengan anda." Saya tabik spring!


          Lantas saya terkenangkan ketokohan Tuan Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang yang memerintah Kelantan berabad sebelum era feminisme....

Salam Maal Hijrah 1432

Tahun baru hijrah tiba lagi. Setiap kali tiba tahun baru, banyak orang membuat azam baru. Saya pun demikian juga. Azam baru dalam kerangka lama tapi belum usang.
        Nabi Muhammad S.A.W pernah berhijrah dari Mekah ke Madinah. Saya juga pernah berhijrah dari SMK ke SM Teknikal dan berhijrah semula ke SMK. Berhijrah ke arah kebaikan. Saya membuat pilihan yang tepat untuk berhijrah dan tidak akan toleh lagi ke belakang. Banyak ranjau dan duri merentang laluan hidup saya di sana. Namun nostalgia bersama rakan-rakan guru dan anak didik masih menggamit kerinduan.
        Banyak pengorbanan yang terpaksa saya lakukan ketika berkhidmat di sana. Hilang kekananan. Hilang sahabat yang akrab. Kehilangan elaun perumahan RM700 sebulan selama 2 tahun setengah kerana tinggal di kuaters dan berkhidmat sebagai warden asrama. Pada waktu itu saya bahagia walaupun terpaksa berkorban tenaga dan wang ringgit kerana perhubungan yang akrab dengan semua warga sekolah. Macam lirik lagu Allahyarham P.Ramlee, 'Berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa...Itulah kasih mesra, sejati dan mulia...' Nostalgik!
        Selama 9 tahun di SMT saya rasakan satu pembaziran. Saya mengalami kerugian yang amat besar dalam hidup dan sejarah perkhidmatan saya. Apa tidaknya. Pengalaman selama 11 tahun mengajar dan mengurus tingkatan 6 hilang begitu sahaja tanpa sebarang pengiktirafan. Saya dinafikan kelayakan ketika memohon DG52 Akademik tingkatan 6 semata-mata kerana tidak mengajar tingkatan 6 pada tahun 2007 dan 2008. SMT mana ada tingkatan 6 pada ketika itu. Pengalaman mengajar tingkatan 6 selama 11 tahun dan menanda kertas Kesusasteraan Melayu STPM selama 5 tahun tidakdiambil kira kerana perkhidmatan saya terputus. SMT mana ada tingkatan 6.
         Satu titik hitam masih berbekas di hati apabila maruah diri saya diinjak-injak di hadapan khalayak. Baru saya tahu rupa-rupanya orang yang berani bertanya tentang haknya yang dirampas mempunyai ramai musuh. Musuh dalam selimut. Orang bijak pandai pernah berkata, 'Jika ingin tahu siapa musuh kita, kenali mereka tatkala kita ditimpa musibah. Sesiapa yang datang membalut luka (fizikal dan spiritual) kita pada waktu kita susah, itulah sahabat yang sejati!'
          Sekepal hati saya terluka dan koyak rabak apabila fakta yang sebenar telah di selewengkan. Dalam satu majlis besar, dalam sebuah dewan yang mulia di sebuah hotel terkenal di Klang, saya bertanya secara terbuka kepada orang nombor 2 ketika itu sama ada boleh atau tidak saya memohon DG52 Akademik. Katanya boleh, 'You're ellegible for 52." Sememangnya ketika itu usia saya pun mencecah 52 pun!
          Tapi fakta telah diselewengkan oleh rakan yang menikam saya dari belakang juga dalam sebuah dewan yang mulia bahawa saya memohon jawatan pengetua DG52. Khalayak akan percaya kerana hanya kami berdua sahaja pada ketika itu. Siapalah saya untuk meminta itu dan ini. Selama-lamanya saya mengukur baju di badan sendiri. Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemimpin besar tapi saya rela berpatah arang berkerat rotan sekiranya hak saya dinafikan dengan cara paling tidak bermaruah.
          Hijrah. Itulah pilihan paling tepat meskipun menyakitkan. Saya rela berhijrah sebagai orang biasa, tanpa pangkat, tanpa paluan kompang dan perarakan bunga manggar. Penghijrahan itu yang terbaik bagi saya pada ketika itu agar tiada siapa lagi yang berasa kedudukannya tergugat. Adakah penghijrahan saya itu sinonim dengan perlakuan Hang Jebat?
          Banyak versi yang menonjolkan perwatakan Hang Tuah dan Hang Jebat. Pertarungan Tuah dengan Jebat merupakan analogi pertentangan antara dua prinsip. Saya sokong prinsip yang dijulang Hang Jebat iaitu 'Raja adil, raja disembah. Raja zalim, raja disanggah.' Pada bila-bila masa sahaja kita tidak boleh bersengkokol dengan orang zalim. Mereka yang zalim harus disedarkan, agar berpijak di bumi yang nyata!
          Justeru, saya membenci perwatakan Tuah yang berpegang pada prinsip, 'Pantang Melayu menderhaka!' Sampai bila orang Melayu harus jadi pak turut? Sampai bila kita harus butakan mata dan pekakkan telinga melihat kebejatan berlangsung di hadapan mata? Pahlawan yang berada di atas landasan kebenaran akan mengguna akal budi secara bijaksana, bukannya menjadi macam lembu yang dicucuk hidung.

Monday, December 6, 2010

Tahniah dan Terima Kasih Ana Balqis

Saya sedang menukang karya "Umi Balqis" tiba-tiba menerima undangan DBP untuk berbengkel bersama Ana Balqis. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, saya terima. Saya teruja untuk berkenalan dengan Ana Balqis yang juga penulis novel 'Panggil Aku Najiha' dan 'Menanti Khalidah'. Saya bawa bersama novel Sulung saya (Realiti Kasih) untuk dibedah dan puteri keempat (Nina) untuk berbengkel bersama-sama. Saya memanjangkan berita ini kepada Lela, teman yang selalu berbengkel bersama-sama.
Tarikh 4 dan 5 Disember telah mencatat satu lagi sejarah baru dalam perjalanan hidup saya. Menuntut ilmu daripada orang yang lebih muda, ceria, berpengalaman dan kaya ilmu pengetahuan menyedarkan saya bahawa mencari gali ilmu ibarat menduga lautan yang dalam. Khazanah ilmu tiada noktah. Makin dicari, makin banyak dikenali, dan kita menjadi semakin dewasa.
Sebagai peserta yang paling berusia, saya mempunyai nilai tambah. Sekurang-kurangnya saya sudah ada hasil dan membawa bersama novel 'Realiti Kasih' untuk dibedah. Secara tidak langsung, anak-anak pelajar yang baru lepas PMR dapat membuka mata dan menyedari makna cogan kata 'Pendidikan Sepanjang Hayat'. Proses pembelajaran berlangsung selagi jasad masih bernyawa.
Terima kasih Ana Balqis kerana sudi melontar komen seikhlasnya. Kak Wan akan perbetul mana yang salah, akan menguatkan struktur yang lemah dan menambah perisa pada mana-mana bahagian yang rasanya kurang sedap. Sesungguhnya, bukan mudah untuk menjadi seorang penulis yang prolifik dan popular.
Tahniah Ana Balqis kerana berjaya menjadi fasilitator yang bermaklumat terutama dalam menunjuk cara menulis sesebuah novel yang lengkap dari permulaan proses menulis karya, pendahuluan hingga penutup. Motivasi Diri yang anda beri, memberi banyak inspirasi untuk menggarap seberapa banyak novel yang mampu bersaing dalam sayembara dan mungkin menjadi pilihan editor. Tahniah dan terima kasih.
Bunga selasih, lengkuas kantan,
          Terima kasih seluas lautan.

Wednesday, December 1, 2010

Mesej Ucap Utama Konvokesyen Nini

Saya baru kembali dari menghadiri majlis graduasi puteri sulung (anak ke3) yang berlangsung pada 28Nov di Dewan Seri Budiman, UITM Syah Alam. Tahniah Nini. Segala usaha dan jerih payah anda menuntut ilmu telah membuahkan hasil. Sekarang anda berada di persimpangan; mencari kerja atau terus belajar untuk mencapai master? Mama dulu pun bercita-cita mencapai MA dan layak. Tapi kemiskinan ibubapa mendorong mama untuk bekerja terlebih dahulu. Namun selepas 3 tahun bekerja mama dapat MAMA. Mahu ikut jejak? Situasi kamu sekarang jauh berbeza.
          Mendengar ucap utama Procancelor minda saya terjentik. Pemikiran kami serupa. Keriuhan yang terhasil mencerminkan apa? Majlis graduasi merupakan majlis rasmi lagi berprestij namun dicemari aksi para graduan yang terlebih gembira?
         "Saya hairan. Ibu bapa yang pendiam dan bersopan santun, melahirkan anak-anak yang bising!" ucapan procanselor sedemikian telah saya jangka kerana  situasi yang kami alami adalah berbeza. Selama 40 kali majlis graduasi beliau hadiri tidak seperti hari ini. 33 tahun dahulu yang mengalami detik yang paling membahagiakan ini dalam suasana yang mengagumkan. Aliran perasaan kami, para graduan, ibu bapa dan para pensyarah dan bercantum menjadi satu dalam aliran perasaan dan pemikiran yang sama. Syukur! Bangga dan Bahagia.
         Walaupun begitu, tahniah! Belajarlah mengawal perasaan dan minda agar sesuai dengan pelbagai situasi yang terhampar di hadapan mata. Belajarlah! Selepas ini anda akan menempuh satu lagi cabaran dalam dunia pekerjaan yang penuh dengan pancaroba.