Saturday, June 18, 2011

Realiti Bukannya Angau

Tahukah anda bahawa manusia itu berbeza? Size badan berbeza, sikap dan pemikiran juga berbeza. Malahan cita rasa setiap orang juga berbeza. Banyak faktor lagi yang mempengaruhi sikap seseorang.  Paling penting pengalaman hidup masa lampau amat mempengaruhi sikap seseorang. Persekitaran, pergaulan, dan pembacaan juga menjadi faktor penyebab. Saya tidak menafikan bahawa pengaruh keluarga terutama pendidikan secara tidak formal di rumah menjadi faktor utama.
        Bayangkanlah. Selama sembilan bulan sepuluh hari kita berada di alam rahim, hidup kita bergantung sepenuhnya kepada pemakanan dan amalan seharian ibu (3x) dan bapa. Dengan izin ALLAH, kita dilahirkan sebagai anak-anak yang soleh dan solehah. Namun harus ingat, 'iman tak dapat diwarisi' daripada ibu bapa yang bertakwa tanpa didikan dan ajaran yang betul. Faktor kendiri (keupayaan diri sendiri) menjadi pemangkin kejayaan.
        Namun begitu, jangan pula kita mudah membuat andaian tanpa penyelidikan. Adakalanya, kita tidak tahu faktor sebenar yang memesongkan kita daripada landasan yang sepatutnya. Adakalanya, acuan sudah sesuai dan serasi, tapi adunannya tidak menjadi, maka akan bantatlah kuih itu. Meskipun ada pepatah mengatakan, ' bagaimana acuan, begitulah kuihnya', namun kita jangan mudah lupa bahawa ramai dalam kalangan kita bersikap bagai 'ketam menyuruh anaknya berjalan betul!'
        Kejadian ini merupakan realiti bukannya angau. Apabila saya menegur kesilapan seseorang, kesilapan saya pula yang dicari selidik. Sepatutnya, kita segera bermuhasabah diri dan menyelidiki kesilapan diri sendiri kerana kita jarang-jarang nampak kesilapan kita. Ibarat kata pepatah, 'Kuman seberang laut nampak, tapi gajah di hadapan mata kita tak nampak'. Jadi beterima kasihlah kepada orang yang sudi menegur kesilapan kita.
         Jangan dilayan sangat penyakit angau. Namanya penyakit. Jika dilayan, satu kerja pun tidak menjadi. Oleh sebab itu, marilah kita menjadi hamba ALLAH yang amat prihatin, kaya budi dan penyayang disulami rasa simpati dan empati yang mendalam. Jangan jadi kera sumbang ataupun seperti 'enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.' Kita adalah sama dari segi amalan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Laksanakanlah tanggungjawab itu dengan sebaik-baiknya. wallahuallam.  

No comments:

Post a Comment