Alhamdulillah, tanpa ku duga, anugerah itu menjadi milikku jua. Terima kasih kepada Puan Pengetua, PPD dan juga JPNT kerana menghargai sumbanganku selama 32 tahun berkhidmat sebagai pendidik. Tugas seorang pendidik amat rencam dan mencabar. Tugas seorang guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas untuk memperturunkan segala ilmu dan kepakarannya kepada para pelajar. Malahan guru juga bertanggungjawab mendidik sahsiah dan keperibadian pelajar agar muncul sebagai modal insan yang unggul bertaraf dunia.
Terima kasih juga kepada putera dan puteriku yang terus memberikan dorongan dan sokongan agar memajukan borang pencalonan anugerah tersebut. Sebaik sahaja borang itu dimajukan kepada saya buat kali kedua, saya tidak berhajat untuk memanjangkannya. Namun desakan anak-anak, mendorong saya menghantarnya juga di saat-saat akhir.
Daripada cempedak, baiklah nangka,
Daripada tidak, baiklah ada.
Anugerah itu bukan yang pertama diterima dalam tahun 2010 bahkan yang mengakhiri kejayaan dalam tahun semasa. Pada 18 Disember, 2010 saya telah menerima anugerah Diamond Director dalam majlis yang gilang gemilang. Sebanyak 25 ekor lembu tumbang untuk dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat yang datang berkunjung.
Anugerah Guru Unggul Exxonmobil merupakan petunjuk yang jelas bahawa mengaplikasikan budaya korporat dalam mendidik anak bangsa membuahkan hasil yang amat manis dirasa. Motto 'One Step Ahead' yang saya bawa pulang dari Johor pada tahun 2000 saya amalkan dan terapkan hingga kini. Untuk meraih kejayaan kita harus berada selangkah di hadapan orang lain.
Tidak tumbuh, tidaklah melata,
Kalau tidak sungguh, tak berani nak kata.
Kepada sesiapa yang bercita-cita untuk meraih kejayaan, asahlah minda anda sekarang. Bukalah langkah seluas-luasnya dan jangan malu untuk belajar. Meniru cara dan gaya orang yang telah berjaya juga merupakan salah satu cara untuk belajar. Jangan suka cantas mencantas kerana perbuatan sebegitu dimurkai ALLAH S.W.T. Jangan pula dibenar diri kita menjadi batu loncatan yang boleh dipijak-pijak dan disepak terajang.
Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Rosak hati, seluruh kerajaan pun roboh.
Wallahuallam.
No comments:
Post a Comment