Sunday, December 12, 2010

Aduh, sakitnya kakiku!

            Esok genap sebulan kakiku terluka tertusuk besi pelapik longkang. Kakiku yang terluka bukannya hatiku. Semangat kerjaku masih kuat seperti dahulu. Cuma perasaan sedikit ugah. Kulit betisku tidak secantik dulu. Kesan luka semakin membesar. Mungkin ada jangkitan kuman. Maklumlah, longkang katakan! Tempat membiak segala jenis kuman. Di manakah tempat yang mengalirkan segala segala air yang kotor lagi busuk? Longkanglah jawabnya.


            Kejadian ini juga mendorongku untuk bermuhasabah diri. selama ini aku sentiasa sihat dan cergas. Allah menurunkan sedikit ujian supaya aku berehat. Sepanjang tahun 2010, aku tidak pernah ambil cuti sakit. Dengan berlakunya musibah ini aku terpaksa mengambil cuti sakit sehari sebelum cuti sekolah bermula. Syukur alhamdulillah, masa cutiku dihabiskan dengan berehat di rumah....
           Namun aku tak boleh duduk-duduk sahaja. Duduk lama-lama membuatkan diriku rasa semakin sakit. Syukur Alhamdulillah kerana DBP mengundangku untuk berbengkel bersama Ana Balqis. Berlaku juga percambahan idea dan dapat kumpul sijil penyertaan Bengkel Penulisan Kreatif Cerpen/Novel. Terima kasih DBP. Terima kasih Ana Balqis.


           Pada 17, 18 dan 19 Dis. nanti aku akan berangkat ke Utara Tanahair. Stadium Tertutup Alor Star bakal menyaksikan satu lagi sejarah yang tercipta. Sekali lagi aku dan puteraku yang sulung bakal menerima Anugerah Diamond. Tahniah dan terima kasih. Begitu mudah untuk mendapat pengiktirafan bagi kerja-kerja sambilan tapi agak sukar bagi tugas hakiki meskipun jangka masa aku berkhidmat terlalu lama tanpa jemu. 31 tahun satu tempoh masa yang agak lama  berbanding 6 bulan.

           Meskipun begitu, masih ada kurang lebih 4 tahun lagi untuk menyalurkan khidmat bakti sebagai penggilap modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang. InsyaALLAH!

1 comment:

  1. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain....

    ReplyDelete