Wednesday, December 8, 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Tahun baru hijrah tiba lagi. Setiap kali tiba tahun baru, banyak orang membuat azam baru. Saya pun demikian juga. Azam baru dalam kerangka lama tapi belum usang.
        Nabi Muhammad S.A.W pernah berhijrah dari Mekah ke Madinah. Saya juga pernah berhijrah dari SMK ke SM Teknikal dan berhijrah semula ke SMK. Berhijrah ke arah kebaikan. Saya membuat pilihan yang tepat untuk berhijrah dan tidak akan toleh lagi ke belakang. Banyak ranjau dan duri merentang laluan hidup saya di sana. Namun nostalgia bersama rakan-rakan guru dan anak didik masih menggamit kerinduan.
        Banyak pengorbanan yang terpaksa saya lakukan ketika berkhidmat di sana. Hilang kekananan. Hilang sahabat yang akrab. Kehilangan elaun perumahan RM700 sebulan selama 2 tahun setengah kerana tinggal di kuaters dan berkhidmat sebagai warden asrama. Pada waktu itu saya bahagia walaupun terpaksa berkorban tenaga dan wang ringgit kerana perhubungan yang akrab dengan semua warga sekolah. Macam lirik lagu Allahyarham P.Ramlee, 'Berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa...Itulah kasih mesra, sejati dan mulia...' Nostalgik!
        Selama 9 tahun di SMT saya rasakan satu pembaziran. Saya mengalami kerugian yang amat besar dalam hidup dan sejarah perkhidmatan saya. Apa tidaknya. Pengalaman selama 11 tahun mengajar dan mengurus tingkatan 6 hilang begitu sahaja tanpa sebarang pengiktirafan. Saya dinafikan kelayakan ketika memohon DG52 Akademik tingkatan 6 semata-mata kerana tidak mengajar tingkatan 6 pada tahun 2007 dan 2008. SMT mana ada tingkatan 6 pada ketika itu. Pengalaman mengajar tingkatan 6 selama 11 tahun dan menanda kertas Kesusasteraan Melayu STPM selama 5 tahun tidakdiambil kira kerana perkhidmatan saya terputus. SMT mana ada tingkatan 6.
         Satu titik hitam masih berbekas di hati apabila maruah diri saya diinjak-injak di hadapan khalayak. Baru saya tahu rupa-rupanya orang yang berani bertanya tentang haknya yang dirampas mempunyai ramai musuh. Musuh dalam selimut. Orang bijak pandai pernah berkata, 'Jika ingin tahu siapa musuh kita, kenali mereka tatkala kita ditimpa musibah. Sesiapa yang datang membalut luka (fizikal dan spiritual) kita pada waktu kita susah, itulah sahabat yang sejati!'
          Sekepal hati saya terluka dan koyak rabak apabila fakta yang sebenar telah di selewengkan. Dalam satu majlis besar, dalam sebuah dewan yang mulia di sebuah hotel terkenal di Klang, saya bertanya secara terbuka kepada orang nombor 2 ketika itu sama ada boleh atau tidak saya memohon DG52 Akademik. Katanya boleh, 'You're ellegible for 52." Sememangnya ketika itu usia saya pun mencecah 52 pun!
          Tapi fakta telah diselewengkan oleh rakan yang menikam saya dari belakang juga dalam sebuah dewan yang mulia bahawa saya memohon jawatan pengetua DG52. Khalayak akan percaya kerana hanya kami berdua sahaja pada ketika itu. Siapalah saya untuk meminta itu dan ini. Selama-lamanya saya mengukur baju di badan sendiri. Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemimpin besar tapi saya rela berpatah arang berkerat rotan sekiranya hak saya dinafikan dengan cara paling tidak bermaruah.
          Hijrah. Itulah pilihan paling tepat meskipun menyakitkan. Saya rela berhijrah sebagai orang biasa, tanpa pangkat, tanpa paluan kompang dan perarakan bunga manggar. Penghijrahan itu yang terbaik bagi saya pada ketika itu agar tiada siapa lagi yang berasa kedudukannya tergugat. Adakah penghijrahan saya itu sinonim dengan perlakuan Hang Jebat?
          Banyak versi yang menonjolkan perwatakan Hang Tuah dan Hang Jebat. Pertarungan Tuah dengan Jebat merupakan analogi pertentangan antara dua prinsip. Saya sokong prinsip yang dijulang Hang Jebat iaitu 'Raja adil, raja disembah. Raja zalim, raja disanggah.' Pada bila-bila masa sahaja kita tidak boleh bersengkokol dengan orang zalim. Mereka yang zalim harus disedarkan, agar berpijak di bumi yang nyata!
          Justeru, saya membenci perwatakan Tuah yang berpegang pada prinsip, 'Pantang Melayu menderhaka!' Sampai bila orang Melayu harus jadi pak turut? Sampai bila kita harus butakan mata dan pekakkan telinga melihat kebejatan berlangsung di hadapan mata? Pahlawan yang berada di atas landasan kebenaran akan mengguna akal budi secara bijaksana, bukannya menjadi macam lembu yang dicucuk hidung.

1 comment:

  1. Sayang sekali. Apabila Hang Tuah terkenangkan kejadian yang paling trajis itu, dia berkata, "Akukah yang bersalah atau Hang Jebat yang benar?"
    Dialog akhir itu membuktikan kepada khalayak bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Nasi sudah jadi bubur!

    ReplyDelete