Sunday, June 26, 2011

Apakah yang kamu sedang fikirkan?

Pada hari ini, proses pengajaran dan pembelajaran saya di dalam kelas sering diganggu oleh soalan-soalan yang gatal. Adakah soalan itu yang gatal ataupun orang yang mengajukan soalan itu yang miang?
        Saya mengharapkan soalan-soalan yang diajukan boleh memantapkan pemahaman mereka tentang topik yang sedang kami bincang iaitu membina ayat dengan menggunakan kata dasar buru. Maknanya berubah setelah diberikan imbuhan seperti berburu, memburu perburuan, pemburuan dan buruan. Setelah saya memberikan penjelasan dan mengarahkan pelajar membina ayat yang lengkap untuk menjelaskan makna dan penggunaannya, seorang pelajar mengakat tangan dan diikuti oleh seorang pelajar yang lain.
        Pelajar yang awal mengangkat tangan diminta mengemukakan soalan. Saya teruja menanti. Tahukah anda apakah bentuk soalan yang diajukan?
        "Cikgu, bolehkah pelajar perempuan berusia 15 tahun berkahwin?"
        Belum sempat saya menjawab, soalan lain pula diajukan.
        "Cikgu, bolehkah pelajar lelaki berumur 17 tahun berkahwin?"
        Saya menggeleng beberapa kali. Saya tidak terus menjawab soalan itu kerana saya sudah tahu aliran pemikiran mereka. Saya memberi peluang kepada pelajar kedua pula mengajukan soalan.
        "Saya telah mengagihkan hasil buruan saya kepada jiran tetangga. Betulkah ayat saya tu cikgu?"
        Saya memuji pelajar tersebut kerana berani mencuba. Namun saya dituduh oleh pelajar pertama sebagai pilih kasih kerana tidak menjawab soalannya terlebih dahulu. adakah saya pilih kasih?
       Lantas saya bertanya padanya. "Apakah yang sedang kamu fikirkan? Orang lain sedang berlumba-lumba membuat latih tubi menjawab soalan kerana peperiksaan percubaan SPM bakal tiba tak lama lagi, kamu pula sibuk memikirkan soal kahwin. Adakah kamu mahu berkahwin dalam usia awal remaja? Tanggungjawab sebagai seorang pelajar tidak mampu kamu laksanakan inikan pula memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar?"
      "Nak kahwin mudah je cikgu, dah ada orang sanggup. Nak belajar je susah!" jawabnya.
      "Mudah bagi orang yang jahil ilmu, buta agama dan tak kenal sejarah. Susah belajar bagi orang yang malas berusaha. Usia yang kamu sebut tadi amat tidak sesuai untuk berkahwin kerana perempuan itu bakal menduduki PMR dan si lelaki pula bakal menduduki peperiksaan SPM. Peringkat usia itu masih belum matang dan terlalu mentah."
       "Jadi, usia berapa sesuai untuk berkahwin?"
       "Paling cepat, 25 tahun. Kenapa?" saya mengajukan soalan kepada semua pelajar dalam kelas.
       "Kerana dah keluar universiti dan dah bekerja, cikgu!" jawab pelajar yang mengajukan soalan kedua tadi. "Saya nak kahwin setelah berumur 40 tahun," sambungnya lagi.
       "Berkahwin setelah berumur 40 tahun terlalu lewat. Mungkin ada alasan kenapa kamu memilih demikian."
       "Setelah saya dapat PhD cikgu. Saya nak bergelar doktor!"
       "Bagus. kamu sedar di mana kamu berada dan tahu akan tugas dan tanggungjawab kamu. Kamu menggunakan akal bukannya nafsu."
       "Cikgu pilih kasih!" protes pelajar pertama tadi.
       Disebabkan itu, saya terpaksa berceramah panjang. Saya menjadi seorang ustazah yang banyak bercakap tentang hal ehwal agama, kerana saya tahu pelajar yang berada di hadapan saya sekarang sangat jahil tentang ilmu agama. Saya juga bertindak sebagai pakar motivasi, kerana kerana jiwa mereka amat gersang kasih sayang dan belaian kasih ibu bapa dan ahli keluarga. Saya juga terpaksa menarik perhatian mereka menyusur galur sejarah bangsa dan budaya kita, kerana saya dapati mereka buta sejarah kerana malas membaca. Saya tidak mahu mereka menerima nasib seperti, 'Ayam di kepuk mati kelaparan. itik di air mati kehausan!'
        Bolehkah kita membaca apakah perkara yang sedang kuat bermain dan berlegar-legar dalam pemikiran majoriti remaja zaman sekarang?
   

2 comments:

  1. Pelajar cemerlang selalu memikirkan tentang pelajaran dan sentiasa mencari peluang untuk muncul sebagai pelajar terbaik.

    ReplyDelete
  2. Pelajar lemah selalu memikirkan tentang kecantikan dan mencari peluang untuk menarik perhatian seseorang terutama yang berlainan gender.

    ReplyDelete